
Tetap di rumah adalah cara terbaik untuk mengurangkan penyebaran COVID-19. Apakah yang perlu kita ingat untuk memastikan anak-anak kekal sihat ketika berada di rumah?
Pemakanan yang Baik
Semasa berada di rumah, cuba kekalkan pemakanan seimbang dengan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran segar. Elakkan pembelian panik serta menyimpan terlalu banyak makanan sejuk beku, makanan diproses atau makanan dalam tin. Selain itu, elakkan juga menyimpan snek manis dan “makanan segera” kerana ini boleh mendorong tabiat makan akibat bosan atau tekanan, yang seterusnya meningkatkan keinginan terhadap karbohidrat dan snek manis.
Tidur yang Mencukupi
Pastikan anak anda mendapat jumlah tidur yang disyorkan mengikut umur, terutamanya dalam tempoh COVID-19 ini. Tidur membantu menguatkan sistem imun kerana sitokin (cytokines) yang membantu melawan jangkitan dan keradangan dihasilkan serta dilepaskan semasa tidur.
Amalkan tabiat tidur yang baik untuk membantu anak anda mendapatkan rehat yang diperlukan. Jika anak anda tidak cukup tidur pada waktu malam, tidur siang boleh membantu menggantikannya serta mengurangkan kesan negatif kurang tidur terhadap sistem imun.
Bersenam Secara Berkala
Senaman berkala mempunyai banyak manfaat kesihatan. Ia bukan sahaja membantu mengurus berat badan dan mengurangkan risiko penyakit metabolik, malah turut ditunjukkan dapat meningkatkan sistem imun, kualiti tidur, serta kesihatan mental dan mood.
WHO mengesyorkan kanak-kanak melakukan senaman selama satu jam setiap hari. Jika keadaan mengizinkan, galakkan anak untuk bersenam di luar rumah secukupnya. Jika tidak boleh, cuba rutin tarian atau senaman di rumah, atau aktiviti sukan maya menggunakan video dan konsol permainan di rumah. Dengan sistem pembelajaran dari rumah, penting untuk mengingatkan anak supaya berehat seketika untuk menjaga penglihatan dan melakukan regangan selepas sesi yang panjang di hadapan komputer, tablet dan buku.
Kekalkan Kesihatan Minda
Wabak COVID-19 semasa telah mengganggu kehidupan keluarga, persekolahan dan sosial. Ini boleh menyebabkan anak berasa tertekan, cemas atau keliru. Cari dan kongsikan maklumat kesihatan yang ringkas serta sesuai dengan umur mereka, bagi membantu mereka memahami penyakit ini. Galakkan mereka meluahkan kebimbangan dan berbincang dengan ibu bapa atau guru jika perlu. Selain itu, galakkan mereka menunjukkan sokongan kepada jiran, rakan dan ahli keluarga. Sikap prihatin dan belas ihsan juga membantu kesejahteraan emosi.
Dapatkan Vaksinasi
Mengikuti jadual vaksinasi anak anda adalah penting kerana vaksin membantu melindungi mereka daripada penyakit yang serius. Walaupun mungkin belum ada vaksin COVID-19 pada ketika itu, jangan memandang ringan kepentingan vaksin lain yang dapat menyokong perlindungan imun dan membantu mengurangkan risiko jangkitan apabila anak jatuh sakit.
